TAHNIAH PROF. IR. DR. MOHD SAPUAN SALIT ATAS PENGANUGERAHAN COMSTECH BEST SCIENTIFIC BOOK AWARD
Tahniah diucapkan kepada Profesor Ir. Dr. Mohd Sapuan Salit atas kejayaan merangkul anugerah COMSTECH Best Scientific Book Award bersempena COMSTECH Awards 2023. COMSTECH atau nama penuhnya Ministerial Standing Committee on Scientific and Technological Cooperation of the Organization of Islamic Coooperation (OIC) merupakan sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan semasa Sidang Kemuncak OIC yang ketiga di Mekah, Arab Saudi pada Januari 1981. Mandat teras COMSTECH adalah untuk mengukuhkan kerjasama dalam kalangan Negara Anggota OIC dalam bidang sains dan teknologi (S&T) dan meningkatkan keupayaan mereka melalui latihan dalam bidang sains dan teknologi yang baru muncul, melaksanakan tindakan susulan dan resolusi OIC, serta merangka program dan mengemukakan cadangan yang direka untuk meningkatkan keupayaan negara-negara Islam dalam sains dan teknologi. Matlamat utama penubuhan COMSTECH adalah untuk membina dan menyuburkan budaya saintifik di samping menggunakan sains dan teknologi sebagai penyumbang utama kepada pembangunan sosio-ekonomi dan perindustrian pesat.
COMSTECH Awards 2023 yang merupakan acara dwitahunan telah diadakan bagi mengiktiraf sumbangan yang luar biasa dalam penyelidikan aintifik dan inovasi dalam komuniti OIC. Para penerima anugerah telah dipilih melalui proses penilaian peer-review yang ketat dan menjadi bukti dedikasi mereka dalam kemajuan pengetahuan saintifik yang signifikan serta pemupukan inovasi. Setiap penerima anugerah akan menerima sijil yang ditandatangani oleh Presiden Pakistan selaku Pengerusi COMSTECH, sebuah pingat kehormatan dan wang tunai. Kesediaan dan kemahuan barisan penerima anugerah untuk berkongsi kepakaran mereka dapat memberi inspirasi kepada generasi penyelidik masa hadapan baik yang berkait dengan organisasi OIC mahupun organisasi yang lain.
Semoga kejayaan yang diperoleh dapat menggalakkan lagi penglibatan warga UPM serta mengharumkan nama UPM di persada dunia.
Tarikh Input: 25/03/2024 | Kemaskini: 25/03/2024 | puteriamirah
Fakulti Kejuruteraan,
Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia.
Pengajian Prasiswazah/Bacelor: 03 9769 6272/6275
Pengajian Master/PhD: 03 9769 6266/4430