JABATAN KEJURUTERAAN 
PROSES DAN MAKANAN
FAKULTI KEJURUTERAAN, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
PENGENALAN

English Translation 
 
 

Pengeluaran makanan dunia masih sangat bergantung kepada keadaan cuaca dan bahan mentah semulajadi semakin berkurang dengan pantas. Disebabkan makanan begitu penting untuk manusia terus hidup, keperluan untuk memproses dan mengawet makanan dalam kuantiti yang banyak diperlukan. Makanan yang berkhasiat perlu dibekalkan kepada manusia melalui proses yang cekap dan berkesan, oleh itu pengenalan bidang kejuruteraan di dalam bidang yang amat penting ini adalah amat diperlukan.

Kejuruteraan Proses dan Makanan, yang bersifat multi disiplin dan dianggap satu bidang baru dalam kejuruteraan. Ia diasaskan di atas rangkaian yang bermula dari penuaian bahan mentah hinggalah kepada penggunaan makanan dan bahan makanan tersebut oleh pengguna.

Disiplin Kejuruteraan Proses dan Makanan menekankan tentang:

Penggunaan proses yang cekap dalam penyediaan dan pengawetan bahan  mentah pertanian dan biologi.

Menukar, mengubah-bentuk dan memproses bahan-bahan pertanian kepada bahan makanan berkualiti tinggi, bahan-bahan farmasi dan bahan  keperluan industri.

Mengekstrak dan menulen bahan-bahan pertanian/biologi dengan  menggunakan kaedah dengan ciri-ciri bahan mula, ciri-ciri bahan semasa  pemprosesan dan ciri-ciri bahan yang terhasil bagi menentukan kadar pengeluaran yang maksimum dengan mutu hasil yang tinggi untuk tujuan pemakanan, pembuatan dan perubatan.

Penekanan-penekanan di atas dapat dicapai melalui aplikasi prinsip-prinsip dan amalan-amalan kejuruteraan seperti berikut:

Operasi proses fizikal dan rekabentuk proses.

Kejuruteraan proses pemindahan jisim dan rekabentuk.

Peralatan, kawalan dan pengautomatan proses.

Kejuruteraan loji pemprosesan dan rekabentuk.

atas

Bacelor Kejuruteraan (Proses dan Makanan):

Objektif  pengajian peringkat ijazah dalam disiplin ini adalah untuk melahirkan profesional yang mahir dalam kejuruteraan pemprosesan makanan dan bahan-bahan berasaskan pertanian/biologi. Oleh itu, pengajian bidang Kejuruteraan Proses dan Makanan adalah diasaskan secara seimbang di antara kursus-kursus sains asas dan kejuruteraan. Kurikulum memberi asas yang kukuh tentang matematik, kimia, mikrobiologi, sains kejuruteraan, operasi unit, pemindahan haba dan jisim, elektronik dan instrumentasi.  Ini diikuti oleh kursus yang memberi penekanan pada kejuruteraan yang diperlukan untuk industri pemprosesan/pembuatan yang menggunakan bahan-bahan mentah pertanian dan biologi untuk diubah kepada makanan terproses dan/atau yang menggunakan bahan biologi/pertanian terproses sebagai ramuan untuk menghasilkan barangan pengguna (makanan, bahan farmasi dan industri). Kursus-kursus tersebut ialah operasi dan rekabentuk proses, rekabentuk kelengkapan, sistem-sistem pemprosesan, kawalan simulasi dan proses, kejuruteraan pembungkusan, dan rekabentuk loji proses. Ia juga meliputi bidang-bidang teknologi pemprosesan tertentu seperti teknologi serbuk, kejuruteraan proses mikrob, teknologi farmasi, teknologi biopolimer.

Kurikulum ini merupakan program pengajian empat tahun yang merangkumi kesemua perkara di atas. Sejumlah 139 kredit perlu diambil sebagai syarat bergraduat, termasuk 5 kredit latihan industri dan 6 kredit projek tahun akhir. Pelajar-pelajar dikehendaki menjalani latihan praktik selama 10 minggu semasa cuti panjang selepas tahun ketiga pengajian. Latihan praktik dijalankan di industri-industri makanan dan agensi-agensi lain yang terlibat/berkaitan dengan pemprosesan bahan makanan. Di sepanjang latihan industri ini, pelajar-pelajar akan didedahkan dengan aktiviti-aktiviti dan suasana kerja yang sebenar dan berkaitan dengan program pengajian mereka.

Pada tahun akhir, setiap pelajar dimestikan melaksanakan satu projek berbentuk kajian/rekabentuk kejuruteraan selama 2 semester, di mana pada akhirnya pelajar dikehendaki menghasilkan satu penulisan tesis. Projek ini bertujuan untuk melatih pelajar menjalankan kerja ujikaji/rekabentuk secara bersendirian supaya pelajar lebih berdikari, berdisiplin dan bertanggungjawab.

Terdapat dua opsyen utama pada tahun ketiga dan keempat pengajian, di mana pelajar dikehendaki memilih salah satu opsyen yang terdiri daripada 9 kredit.


Opsyen kejuruteraan makanan yang menitikberatkan penggunaan prinsip dan konsep kejuruteraan dalam industri pemprosesan makanan.

Opsyen kejuruteraan pemprosesan bio bahan  yang menekankan penggunaan prinsip dan konsep kejuruteraan proses dalam industri pemprosesan komoditi pertanian negara yang utama seperti kelapa sawit, getah, koko. Tumpuan juga diberi terhadap operasi pemprosesan untuk pembentukan dan pembangunan barangan baru berasaskan bahan pertanian/biologi untuk kegunaan sebagai bahan makanan, farmasi dan bahan asas industri pembuatan.


 

Di samping itu, pada tahun akhir pengajian, pelajar dikehendaki untuk memilih satu subjek sebagai tambahan  3 kredit daripada sebelas subjek elektif yang ditawarkan.
 

atas

Kemudahan Pengajaran dan Penyelidikan:

Untuk memastikan pengajaran yang efektif dan aktiviti penyelidikan yang berkualiti, Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan dibekalkan dengan kemudahan makmal moden yang dilengkapi dengan kelengkapan dan sistem analisis data berkomputer. Terdapat lapan makmal yang utama iaitu: Makmal Pengawetan dan Pembungkusan Bio-Bahan, Makmal Bioreaktor, Makmal Operasi Unit, Makmal Kawalan Proses, Makmal Sifat Kejuruteraan Bio-Bahan, Makmal Rekabentuk Proses dan Loji, Makmal Proses Angkutan Kejuruteraan Makanan dan Makmal Proses Pertanian. Di samping itu, pelajar boleh menggunakan perisian-perisian komputer terbaru  di makmal CAE Fakulti dan Pusat Komputer UPM.
 

Pengajian Siswazah (M.S/Ph.D) 

Graduan yang telah menamatkan Bacelor Kejuruteraan Proses dan Makanan boleh melanjutkan pengajian mereka ke peringkat ijazah lanjutan (M.S/PhD) di Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan sama ada secara sepenuh masa atau sambilan.
 

Perspektif Kerja:

Sebagai satu profession, jurutera proses dan makanan mempunyai masa depan yang cemerlang dan kerjaya yang penuh cabaran. Bidang kerja yang luas ini merangkumi dari  operasi kilang pembuatan hinggalah kepada rekabentuk, penyelidikan dan pembangunan.



Operasi loji pembuatan/pemprosesan dan pengurusan

Kilang-kilang pemprosesan makanan dan bahan pertanian/biologi memerlukan jurutera proses bagi mengendalikan proses pengeluaran berasaskan unit operasi dan pengendalian pemprosesan secara automatik. Jurutera proses juga bertanggungjawab terhadap keselamatan operasi kilang. Oleh itu, beliau mestilah mempastikan kerja-kerja baikpulih dan penyelenggaraan dilakukan dengan betul.



Rekabentuk kejuruteraan bagi proses, peralatan dan sistem pemprosesan
Bagi kilang-kilang pembuat alatan pemprosesan, jurutera proses diperlukan bagi merekabentuk alatan baru untuk menghasilkan produk baru. Tugas ini memerlukan pengetahuan di dalam rekabentuk proses, rekabentuk alatan dan rekabentuk sistem pemprosesan.


Pembangunan produk dan penyelidikan.
Jenis barangan makanan berkembang mengikut selera pengguna. Dari masa kesemasa, makanan berbentuk baru dari segi rasa, bentuk, pembungkusan dan makanan yang diperbuat dari bahan baru, menarik minat pengguna.

Syarat-Syarat Kemasukan:

Untuk mengikuti program Bacelor Kejuruteraan Proses dan Makanan, pemohon mestilah memiliki salah satu daripada kelayakan di bawah :


Matrikulasi UPM (Sains Fizikal dan Matematik).

STPM dengan gred yang baik dalam matapelajaran Matematik dan/atau 

Fizik (sekurang-kurangnya gred R dalam matapelajaran Kimia atau 
Biologi)

Lulusan diploma dari institusi-institusi pengajian tinggi tempatan.

A-Level dengan sekurang-kurangnya 2B dan 1C.

5 tahun pengalaman kerja dalam bidang berkaitan.(Pemohon juga mestilah mendapat kredit dalam Bahasa Malaysia di peringkat SPM atau setaraf dengannya.)

atas