| FACULTY OF ENGINEERING

Prof. Sapuan menang 'Best Technical Paper Award' di UNIMAS STEM EnCon2014

encon

Prof. Sapuan menerima anugerah daripada Prof. Kopli Bujang, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UNIMAS


Sarawak, 9 Dis - Profesor Ir. Dr. Mohd Sapuan Salit, daripada Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia telah dianugerahkan Best Technical Paper Award di Universiti Malaysia Sarawak - Science Technology Engineering Mathematics - Engineering Conference 2014 (UNIMAS STEM EnCon2014) baru-baru ini.

Majlis dirasmikan oleh Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Perhubungan Sarawak dan anugerah tersebut disampaikan oleh Profesor Dr Kifli Bujang, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UNIMAS.

Profesor Sapuan merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan menang dengan tajuk artikel nya 'Design with Natural Fibre Composites'. Pemenang untuk kategori ini diiktiraf berdasarkan kualiti artikel yang ditulis. Kriteria yang diambil kira adalah dari aspek keaslian artikel, kualiti data yang dikumpul, organisasi artikel dan penggunaan Bahasa Inggeris yang baik.

Menurut beliau "Pengiktirafaran ini memberi dorongan untuk saya menjalankan penyelidikan yang lebih berkualiti bagi menghasilkan produk yang boleh dikomersilkan".

Ulasan beliau mengenai artikelnya, "Reka bentuk komponen daripada bahan komposit adalah berbeza dengan reka bentuk komponen daripada logam kerana proses pembuatan kedua jenis bahan ini adalah berbeza. Salah satu pendekatan reka bentuk komposit adalah menggunakan kaedah yang terkenal seperti kaedah reka bentuk menyeluruh. Pada umumnya kaedah reka bentuk komponen daripada bahan komposit gentian konvensional seperi gentian kaca dan karbon dan bahan composit gentian semula jadi tidak banyak berbeza. Dalam kajian ini, kaedah reka bentuk menyeluruh digunakan bagi membangunkan komponen daripada bahan komposit gentian semula jadi. Konsep reka bentuk bagi komponen automotif seperti tuil brek tangan menggunakan kaedah modern seperti TRIZ dan pemilihan konsep reka bentuk dijalankan menggunakan kaedah gandingan AHP dan carta morfologi. Bahan komposit gentian semula jadi seperti kenaf dihibridkan bersama bahan gentian kaca sebagai bahan penguat bagi matriks polipropilena. Ini adalah kerana kenaf dapat mengurangkan kos produk tetapi masih memerlukan kekuatan bahan gentian kaca sebagai bahan yang terbaik bagi tuil brek tangan automotif".

Beliau merupakan penerima Ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di University of Newcastle Australia kemudiannya melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana di Loughborough University Unoted Kingdom dalam bidang Kejuruteraan Rekabentuk dan seterusnya menerima PhD dalam jurusan Kejuruteraan Bahan di De Montfort University United Kingdom.

Selain itu, Profesor Sapuan juga pernah memenangi Anugerah Khwarizmi International Award pada tahun 2013 dan menerima Anugerah Penyelidik Cemerlang Universiti Putra Malaysia pada tahun 2005, 2007 dan 2008.

Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah dilantik sebagai Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Fakulti Kejuruteraan dari tahun 2008 hingga 2011. Terkini, beliau merupakan Ketua Laboratori Teknologi Biokomposit, Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan serta Ketua Program Penyelidikan Teknologi Komposit Universiti Putra Malaysia.


SXDcQA5~