| FACULTY OF ENGINEERING

Jurutera UPM cari penyelesaian bina bangunan kalis gempa


Dr. Farzad cari penyelesaian bina bangunan kalis gempa

KUALA LUMPUR: Kejadian gempa bumi di wilayah Bam, Iran pada 2003 yang meragut lebih 40,000 nyawa dan mengakibatkan 420,000 orang cedera mendorong seorang jurutera awam mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan risiko korban akibat bencana itu.

Sejak itu, Dr Farzad Hejazi mula melakukan kajian untuk mencari penyelesaian untuk menjadikan bangunan-bangunan sedia ada dan yang akan dibina kalis gempa.

"Terlalu ramai sahabat dan kenalan saya yang terkorban dalam kejadian itu. Sejak itu, saya sentiasa memikirkan cara bagaimana mengurangkan risiko korban dengan melindungi bangunan daripada musnah akibat gempa," kata beliau yang kini merupakan pensyarah kanan di Fakulti Kejuruteraan Awam di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Setelah menjalankan kajian lebih 10 tahun, kini Dr Farzad berjaya menghasilkan inovasi sistem penyerap gegaran yang dapat mengurangkan kerosakan struktur bangunan akibat gegaran gempa sehingga 80 peratus dengan kos yang minima.

Inovasi berkonsepkan sistem penyerap hentakan kereta di mana spring digunakan untuk menyerap tenaga daripada gegaran gempa pada struktur bangunan - Foto Astro AWANI

Malah hasil kajiannya mendapati teknologi berkenaan mampu menahan gegaran kuat sehingga 8 skala richter.

"Berdasarkan ujian makmal, kami mendapati peranti ini dapat mengurangkan kesan gempa bumi yang sederhana hingga teruk. Malah kita dapat mengurangkan kerosakan bangunan sehingga 70-80 peratus akibat gegaran gempa," kata Dr Farzad.

Konsep yang digunapakai adalah penggunaan bahan penyerap gegaran seperti spring keluli dan getah dalam struktur bangunan.

"Konsepnya sama seperti penyerap hentakan kereta. Cuma dalam kereta kita menggunakannya dalam skala kecil. Tetapi untuk struktur bangunan kita memerlukan skala yang besar."

"Jadi kami menghasilkan peranti ini yang dapat menyerap tenaga daripada gegaran dan tenaga itu akan terus melesap daripada bangunan," jelasnya.

spring
Untuk tujuan demonstrasi, Dr Farzad mengenakan sebuah kerangka struktur keluli di makmalnya dengan gegaran yang bersamaan dengan 5 skala ricter gempa bumi.

Struktur keluli tanpa sistem penyerap gegaran menjadi bengkok apabila dikenakan gegaran sekuat 5 skala Richter dalam makmal Dr Farzad. - Foto Astro AWANI

Tinjauan Astro AWANI mendapati struktur berkenaan masih kukuh tanpa sebarang kerosakan disebabkan peranti spring yang telah dipasang untuk menyerap tenaga yang dijana daripada gegaran berkenaan.

Untuk tujuan perbandingan, eksperimen sama turut dijalankan atas struktur keluli tanpa penyerap gegaran. Hasilnya, beberapa bahagian pada struktur keluli berkenaan didapati bengkok dan retak.

"Sekiranya struktur bangunan bengkok ini amat berbahaya kerana ia boleh mengakibatkan bangunan tersebut runtuh," kata Dr Farzad.

Mengambil iktibar daripada negara gempa seperti jepun, katanya bangunan di kawasan berisiko gempa wajar dilengkapi dengan sistem sedemikian untuk mengelakkan risiko korban.

Kelebihannya inovasi ini, ia dapat dihasilkan dengan kos yang rendah kerana bahan mentahnya senang diperoleh.

keluli

(Struktur keluli tanpa sistem penyerap gegaran menjadi bengkok apabila dikenakan gegaran sekuat 5 skala Richter dalam makmal Dr Farzad. - Foto Astro AWANI

"Dua bahan utama yang digunakan iaitu keluli dan getah yang mana bahan-bahan ini senang diperoleh dan kita tahu Malaysia juga merupakan negara pengeluar getah. Untuk itu, harga untuk peranti ini boleh didapati serendah RM3,000 sehingga RM7,000. Harganya jauh lebih murah berbanding sistem anti-gegaran dijual di Jepun atau Amerika Syarikat," kata Dr Farzad.

Sehubungan itu, katanya beberapa syarikat daripada negara berkenaan telah menghubunginya untuk berkongsi maklumat untuk penghasilan inovasi sedemikian dengan kos rendah.

Kajian yang dilakukan Dr Farzad juga sudah merangkul lebih 25 anugerah inovasi termasuk 5 inovasi berjaya dipatenkan.

-SUMBER BERITA DARIPADA ASTRO AWANI-

http://m.www.astroawani.com/video-malaysia/inovasi-bangunan-kalis-gempa-59676
 

http://m.www.astroawani.com/berita-malaysia/pengalaman-kehilangan-rakan-dorong-jurutera-cari-penyelesaian-bina-bangunan-kalis-gempa-62200


SXETUAo~