Pengenalan

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat datang ke laman sesawang Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia. Jabatan ini telah ditubuhkan pada bulan Ogos 1996 dan selepas 20 tahun kewujudannya, kami telah mencapai kecemerlangan yang membanggakan dalam bidang akademik dan penyelidikan. Ini dibuktikan dengan kejayaan jabatan ini mengekalkan pencapaian 5 bintang dan jabatan terbaik keseluruhan selama 4 tahun berturut-turut. Jabatan ini juga merupakan antara penyumbang tertinggi dalam penerbitan untuk penyelidikan di fakulti. Dalam beberapa tahun ini, kami telah merangkul lebih 40 anugerah di pameran-pameran peringkat tempatan dan antarabangsa seperti GENEVA, British Invention Show, IENA Germany, INPEX Pittsburgh, dan EUREKA Belgium. Kami juga telah berjaya mendaftarkan sebanyak 13 buah paten.

Jabatan ini terdiri daripada 44 orang kakitangan, di mana 29 daripadanya adalah kakitangan akademik dan 15 lagi adalah kakitangan sokongan. Kesemua pensyarah berpengalaman kami merupakan pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dari universiti-universiti terkemuka dunia. Di kalangan kakitangan akademik, 5 adalah professor, 10 adalah professor madya dan 12 adalah pensyarah kanan. Enam daripada pensyarah kami merupakan jurutera berkanun (chartered engineer) dan mereka adalah ahli kepada badan-badan professional seperti IChemE, IEM dan MMWA.

Pada masa ini, jumlah pelajar pra-siswazah dan siswazah di jabatan ini adalah masing-masing sebanyak 216 dan 242. Bahasa Inggeris merupakan bahasa utama di dalam pengajaran. Jabatan ini menawarkan program Bacelor Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian bagi pengajian peringkat pra-siswazah dengan pilihan empat pengkhususan iaitu kejuruteraan proses, kejuruteraan sains bahan, kejuruteraan alam sekitar dan kejuruteraan biokimia. Program ini mendapat akreditasi sepenuhnya dari Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Lembaga Jurutera Malaysia dan Institut Jurutera Malaysia. Turut ditawarkan adalah pengajian peringkat siswazah; ijazah sarjana dan doktor falsafah bagi penyelidikan dalam pelbagai bidang seperti proses, alam sekitar, biokimia dan kejuruteraan bahan. Antara bidang-bidang khusus yang mendapat perhatian mutakhir kini adalah teknologi nano, tenaga boleh baharu, teknologi hijau, bahan termaju, biobahan api, rawatan air, penyerapan, biojisim dan biochar.


Akhir kata, sebagai Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, saya berharap laman sesawang ini boleh memberikan dorongan untuk pembangunan kerjaya bagi para pelajar pra-siswazah dan siswazah. Melalui perkongsian maklumat dan interaksi antara satu sama lain, diharapkan ia mampu menjana hasil yang positif untuk penambahbaikan ilmu pengetahuan dalam bidang kejuruteraan kimia yang serba luas dan menarik.

Sekian terima kasih. 


Profesor Madya Dr. Norhafizah Hj. Abdullah
Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar. 

Specific Programme Educational Objectives with its Performance Indicator